Nuffnang Ads

Saturday, 24 November 2012

Mati Kerana Ketagihan Permainan Video



Seorang pengemar permainan video meninggal dunia di hadapan komputer selepas rentetan maraton sesi malam pada hari Khamis. Badan lelaki Thailand berusia 24-tahun didapati menggelungsor di kerusi beliau di dalam bilik beliau di wilayah Samut Songkhram barat daya Bangkok, menurut pihak berkuasa. "Beliau telah ketagih kepada permainan. Beliau tidak pergi ke katil tetapi permainan komputer yang sentiasa dimainkan dari malam sehingga pagi," pegawai polis tempatan Chaichana Boonrod memberitahu AFP melalui telefon.
Mayatnya akan dihantar untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian, kata polis.


Terima Poskad Selepas 70 Tahun




NEW YORK: Selepas 70 tahun, sekeping poskad tiba di alamat tertulis, walaupun bukan untuk pengirim sebenar. Poskad itu dihantar pada 4 Julai 1943 kepada Pauline dan Theresa Leisenring di Elmira, New York oleh ibu bapa mereka yang melawat abangnya di Camp Grant di Illinois. Malangnya, dua beradik itu sudah meninggal dunia berpuluh tahun lalu. Bagaimanapun, rumah mereka di Elmira, diduduki oleh dua budak perempuan lain iaitu Hannah dan Madie Podgorny. Hannah, pelajar Tahun Tujuh, bercadang menggunakan poskad itu dalam projek sejarah sekolahnya.


Poskad berbunyi, mengikut Elmira’s Star-Gazette:

"Dear Pauline dan Theresa, Kami tiba selamat, mempunyai perjalanan yang baik, tetapi kita adalah baik dan letih. Geo. kelihatan baik, kita semua pergi keluar untuk makan malam hari ini (Ahad). Sekarang kita berada di taman. Geo mempunyai untuk kembali ke Pemberian pada 0:00 malam. Jangan melihat banyak kepadanya. Kami akan membuat penkek untuk Geo untuk malam makan malam. Jumpa anda tidak lama lagi. Ibu Love, ayah. "

Tidak Sedar Anak Sudah 10 Jam Mati


BANGKOK: Seorang wanita tua berusia 80 tahun memasak makanan untuk anak lelakinya yang berusia 60 tahun tanpa mengetahui lelaki itu sudah meninggal dunia. Polis dihubungi untuk menyiasat kematian itu di tambon Khlong Krachong di daerah Sawankhalok, Sukhothai semalam. Dalam rumah kayu ala Thai, polis menemui Jamnien Sangkhathong sedang memasak di dapur. Di tingkat atas mayat anak lelakinya, Winai Sangkhathong terbaring dengan ditutup selimut. Wanita yang nyanyuk itu mungkin tidak menyedari anaknya sudah mati.

Apabila dia menyedari ramai orang cuba memasuki kediamannya, Jamnien menyangka dia dalam bahaya lalu mencapai sebilah pisau. Ia mengambil masa sejam untuk polis menenangkannya dan mendapatkan mayat Winai, menurut laporan akhbar Post Today. Polis mendapati Winai sudah mati sekurang-kurangnya lebih daripada 10 jam. Kesan muntah turut ditemui pada mayatnya. Menurut jiran tetangga, Winai dikenali sebagai kaki botol, manakala ibunya pula menghidap demensia. Jamnien bangun untuk menyediakan sarapan pagi buat anak lelakinya tanpa menyedari lelaki itu sudah mati sebelum seorang rakan datang untuk menziarahi Winai. - Post Today

Ibu 16 Orang Anak Mahu Zuriat Lagi



LONDON: Wanita digelar “Ibu Super Britain,” Sue Radford, selamat melahirkan anak ke-16 dan belum bercadang untuk berhenti hamil. “Saya mahu anak lagi,” katanya kepada media, semalam.Kenyataan itu dibuat Sue, 37, sejurus selepas dia dan anak bongsunya, Casper, tiba di rumah mereka di Morecambe, Lancashire. Rumah itu pernah menjadi pusat penjagaan kanak-kanak kurang bernasib baik. Kata Sue, dia sentiasa seronok menjadi ibu.


“Kami berasa sangat bertuah,” katanya. Sue hamil kali pertama ketika berusia 14 tahun dan sejak itu, dia dan pasangannya, Noel, 41, bertekad untuk membesarkan sendiri anak sulung mereka, Chris, kini 23 tahun. Keputusan itu dibuat kerana Sue dan Noel sendiri diserahkan kepada keluarga angkat sebaik saja dilahirkan. Sue dan Noel berkahwin empat tahun kemudian dan anak kedua mereka, Sophie, 18, menyusul, sebelum diikuti Chloe, 17; Jack, 15; Daniel, 13; Luke, 11; Millie, 10; Katie, 9; James, 8; Ellie, 7; Aimee, 6; Josh, 4; Max, 3; dan Tilly May, 2.




Anak ke-15 Sue dan Noel, Oscar, lahir pada Oktober tahun lalu sebelum Casper hadir tujuh minggu lalu. Kata Sue, Casper disambut doktor hanya selepas dia berada 16 minit di dalam bilik bersalin. Menurutnya, kehadiran Casper bagaikan satu mimpi dan melengkapkan kegembiraan dinikmati mereka sekeluarga.





“Saya menjadi emosional apabila melihat semua anak bersama. “Saya tahu orang memerhatikan kami dan menyangka ada antara anak ini tidak mendapat perhatian sewajarnya,” katanya. Bagaimanapun, kata Sue, orang ramai tidak memahami bagaimana dia dan Noel memberi sepenuh perhatian kepada keluarga bagi memastikan semua anak mereka membesar dengan kasih sayang. Disebabkan jumlah anak begitu ramai, Sue dan Noel menggunakan sebuah bas mini untuk membawa mereka ke sesuatu destinasi. Mereka juga membelanjakan �250 (RM1,220) seminggu untuk membeli makanan.




Setiap hari, tiga buku roti dihabiskan bersama dua kotak bijirin dan 10 liter susu sebagai sarapan.Hidangan biasa mereka menggunakan 16 potong daging babi, hampir 7 kilogram kentang, tiga kubis dan 30 lobak merah. Di rumah sembilan bilik tidur itu, Sue dibantu sebuah mesin basuh pakaian serta peti sejuk bersaiz besar. Keluarga itu pasti semakin sesak kerana Sophie baru saja melahirkan anak - sekali gus menjadi cucu pertama Sue dan Noel. - TS


Kemalangan 140 Kenderaan





EAUMONT (Texas): Dua maut dan berpuluh cedera semalam apabila sekurang-kurangnya 100 kenderaan terbabit dalam kemalangan di lebuh raya yang diselubungi kabus tebal. Insiden itu menyebabkan ada antara kenderaan terbabit saling bertindih dan penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa. Kemalangan pada hari sambutan cuti Thanksgiving itu berlaku kira-kira 128 kilometer di timur Houston. 


Sekurang-kurangnya 51 orang dirawat di hospital dan lapan daripadanya dalam keadaan parah. Selain faktor cuaca, tidak jelas bagaimana kemalangan itu berlaku. Jurucakap polis berkata, penyelamat tidak menyangka mereka berdepan kemalangan berganda apabila tiba di situ. “Kami turut dibantu mangsa kemalangan yang tidak cedera,” katanya. Pegawai Jabatan Keselamatan Jalan Raya Texas pula berkata, dua mangsa yang terbunuh menaiki kenderaan pelbagai guna yang dirempuh kontena. - AP




Wednesday, 21 November 2012

Volkwagen Golf MK VII 2013 Review


KEMASYHURAN Volkswagen Golf memang diakui peminat kereta malah sejak diperkenalkan 30 tahun lalu, kenderaan itu sudah dijual melebihi 29 juta unit di seluruh dunia. Revolusi kenderaan kompak itu boleh dianggap cemerlang dalam industri automotif apabila ia mencapai generasi ketujuh selepas pelancaran model terbarunya, September lalu. Volkswagen Golf turut menjadi model ‘ikonik’ bagi jenama buatan Jerman itu sama seperti Volkswagen Beetle yang mempunyai sejarah menarik menghasilkan ‘kereta rakyat’. Walaupun mempunyai tujuh generasi, setiap model mempunyai keistimewaannya bermula daripada Volkswagen Golf Mk I hingga Mk VII.


Bagi mencungkil kehebatan model terbaru menerusi Volkswagen Golf Mk VII, penulis dan beberapa rakan media dijemput Volkswagen Group Malaysia ke Sardinia, Itali, dengan penerbangan lebih 16 jam.Ia menerima pembaharuan yang ketara merangkumi bahagian enjin, ketahanan bentuknya, rekaan dan sistem keselamatan serta teknologi canggih bagi kenderaan kompak. Enjin petrol dengan kapasiti 1.4 liter TSI dengan kod EA211 menerima sentuhan terbaru apabila ia lebih ringan berbanding sebelum ini yang dikenali EA111.Perbezaannya merangkumi kedudukan silinder dengan condong ke bahagian dalam dengan anggaran kira-kira 12 darjah.Komponen yang diperbaharui termasuklah enjin blok lebih ringan sebanyak 45 peratus, ‘crankshaft’ (20 peratus) dan rod penyambung bersendi (30 peratus).Ia mesra alam sekitar apabila melepaskan tahap bahan cemar yang rendah dan jimat minyak tanpa menjejaskan prestasi enjinnya.


Jentera ini juga lebih ringan 100 kilogram (kg) berbanding Volkswagen Golf Mk VI serta ‘disaluti’ bentuk aerodinamik yang mampu mengurangkan tahap penggunaan minyak sehingga 23 peratus. Pengurangan berat sehingga 100 kg itu membabitkan komponen enjin (40 kg), badan kenderaan (37 kg), kerangka (26 kg) dan sistem elektrik (enam kg). Teknologi terbaru yang dinamakan sebagai BlueMotion menjadi penanda aras jenama berkenaan apabila mencatatkan 3.2 liter bahan api bagi setiap 100 kilometer (km) selain pembebasan karbon dioksida sebanyak 85 gram/km. Ketua Rekaan Jurutera Visualnya, Arne Leetz berkata, keluasan kabin Volkswagen Golf Mk VII lebih luas berbanding model sebelumnya, sekali gus memberi kelegaan kepada penumpang hadapan dan belakang.



Menurutnya, kenderaan itu lebih panjang sehingga 56 milimeter (mm) dengan mencatatkan bentuk keseluruhan sehingga 4.255 meter (m). “Penambah baik pada model ini ternyata memberi kekuatan bagi kenderaan kompak ini untuk membezakannya dengan model terdahulu.“Malah, kerusi yang dicipta lebih canggih dan berkualiti dengan konsep kerusi ‘egroActive’ turut memenangi anugerah kempen Kesihatan Belakang,” katanya.

Leetz berkata, ruang botnya turut ditingkatkan apabila ia lebih rendah untuk memudahkan penggunanya memunggah barang, selain mampu diisi dengan beban sehingga 380 liter. Sementara itu, reka bentuk yang tidak ketinggalan zaman terhasil dengan gabungan dua model terdahulu iaitu Volkswagen Golf Mk II dan Mk IV yang menyerlah bagi kenderaan kompak. Walaupun jentera ini direka untuk pemanduan santai dan berbeza dengan spesifikasi GTI, ia masih lagi tampak gah dan sporty serta aerodinamik. Lampu hadapan sedikit tirus yang kelihatan bersambung dengan jeriji hadapan memberi dimensi baru bagi watak kenderaan generasi ketujuh itu. Garisan sisi antara hujung pintu hadapan hingga ke belakang membuatkan susuk badannya tampak kemas dan tegap.

Menjengah bahagian kabinnya, ia masih menerapkan material yang lembut untuk papan pemukanya, sekali gus tampak premium bagi kenderaan segmen A. Apa yang paling menarik apabila papan pemukanya dilengkapi skrin sesentuh yang cara penggunaannya seolah-olah seperti telefon pintar IPhone. Ini berikutan gambar atau imej peta menerusi sistem navigasinya boleh dibesarkan dengan menggunakan dua jari selain mesra pengguna. Sekiranya mahu memainkan cakera padat, penulis perlu membuka tempat penyimpan barang di bawah papan pemukanya.

Ketika memandu ujinya, pengendalian sangat menyeronokkan kerana ia memberi ketepatan memasuki laluan berselekoh dan berbukit. Kaki penulis seolah-olah teruja sebaik menekan pedal minyaknya kerana kuasa pecutan yang disalurkan sangat mantap dan mudah dikawal. Walaupun enjin 1.4 liter, kuasa tujahan dengan bantuan sistem turbo membuat badan penulis melekat pada kerusinya seolah-olah memandu kenderaan berprestasi tinggi. 

Ketika memandu jentera ini secara santai, panel meternya memberi maklumat bahawa ia menggunakan dua silinder untuk menggerakkannya, sekali gus mengurangkan tahap penggunaan bahan api. Bagaimanapun, sekiranya menekan pedal minyak secara agresif, keempat-empat silinder akan berfungsi seperti biasa. Suasana yang nyaman dengan tumbuhan menghijau di sekitar Sardinia turut menyeronokkan sesi pandu uji yang disertai media dari beberapa negara termasuk Jepun dan Afrika Selatan.

Sajian laluan berselekoh dan berbukit dimanfaatkan sepenuhnya untuk menguji model berkenaan dan ternyata ia tidak sedikit pun menghampakan penulis. Setiap selekoh tajam ‘diratah’ dengan mudah kerana ia memberi kestabilan dan tidak membuang ketika kelajuan sedikit tinggi. Ternyata sistem suspensinya berfungsi dengan sempurna walaupun ia bukan kenderaan berprestasi tinggi atau kereta perlumbaan. Penulis juga berkesempatan memandu uji Volkswagen Golf Mk VII yang menggunakan enjin diesel. Bagaimanapun, difahamkan ia tidak akan dipasarkan di negara ini. Selain itu, semua varian Volkswagen Golf Mk VII dilengkapi tujuh beg udara, ESC, brek letak kereta elektronik dengan Pegang Auto, kunci perbezaan elektrik, lampu siang dan pemantauan tekanan tayar.

Saturday, 10 November 2012

Bakar Kapal Selam US Kerana Bekas Kekasih




PORTLAND, Maine - Seorang bekas pekerja sebuah pelabuhan, Casey James Fury kelmarin mengaku bersalah membakar sebuah kapal selam nuklear milik tentera Amerika Syarikat (AS) yang menyebabkan kerugian sebanyak AS$450 juta (RM1.3 bilion).

Fury, 24, mengaku bersalah di Mahkamah Daerah AS kerana melakukan kebakaran dengan sengaja sebanyak dua kali. Dia mengaku melakukan perbuatan itu di dalam kapal selam nuklear HMS Miami pada 23 Mei lalu di Limbungan Tentera Laut Portsmouth di Maine. Fury sekali lagi melakukan perbuatan yang sama tetapi di luar kapal selam berkenaan pada 16 Jun lepas. Pemuda itu melakukan perbuatan tersebut dengan alasan untuk segera pulang ke rumahnya. Fury memberitahu para penyiasat bahawa dia mengambil pelbagai jenis ubat bagi menangani kemurungan, alahan dan masalah sukar untuk tidur semasa kali pertama membakar kapal selam tersebut.

Dia juga menjelaskan mahu pulang ke rumah selepas berasa bimbang apabila membaca mesej daripada bekas kekasihnya menyebabkannya melakukan perbuatan itu buat kali kedua. Bagaimanapun, kebakaran itu tidak merebak ke bahagian belakang kapal yang menempatkan pelbagai komponen nuklear. Ekoran pengakuan itu, dia mungkin akan dipenjarakan hampir 20 tahun. Kapal selam itu dibaiki sebelum ia kembali beroperasi pada 2015. Kos membina kapal selam itu pada 1990 dianggarkan AS$900 juta (RM2.7 bilion). Jika kapal selam itu dibina pada tahun ini, kosnya dianggarkan AS$1.5 bilion (RM4.6 bilion). - Sumber Agensi