KEMASYHURAN Volkswagen Golf memang diakui peminat kereta malah sejak diperkenalkan 30 tahun lalu, kenderaan itu sudah dijual melebihi 29 juta unit di seluruh dunia. Revolusi kenderaan kompak itu boleh dianggap cemerlang dalam industri automotif apabila ia mencapai generasi ketujuh selepas pelancaran model terbarunya, September lalu. Volkswagen Golf turut menjadi model ‘ikonik’ bagi jenama buatan Jerman itu sama seperti Volkswagen Beetle yang mempunyai sejarah menarik menghasilkan ‘kereta rakyat’. Walaupun mempunyai tujuh generasi, setiap model mempunyai keistimewaannya bermula daripada Volkswagen Golf Mk I hingga Mk VII.
Bagi mencungkil kehebatan model terbaru menerusi Volkswagen Golf Mk VII, penulis dan beberapa rakan media dijemput Volkswagen Group Malaysia ke Sardinia, Itali, dengan penerbangan lebih 16 jam.Ia menerima pembaharuan yang ketara merangkumi bahagian enjin, ketahanan bentuknya, rekaan dan sistem keselamatan serta teknologi canggih bagi kenderaan kompak. Enjin petrol dengan kapasiti 1.4 liter TSI dengan kod EA211 menerima sentuhan terbaru apabila ia lebih ringan berbanding sebelum ini yang dikenali EA111.Perbezaannya merangkumi kedudukan silinder dengan condong ke bahagian dalam dengan anggaran kira-kira 12 darjah.Komponen yang diperbaharui termasuklah enjin blok lebih ringan sebanyak 45 peratus, ‘crankshaft’ (20 peratus) dan rod penyambung bersendi (30 peratus).Ia mesra alam sekitar apabila melepaskan tahap bahan cemar yang rendah dan jimat minyak tanpa menjejaskan prestasi enjinnya.
Jentera ini juga lebih ringan 100 kilogram (kg) berbanding Volkswagen Golf Mk VI serta ‘disaluti’ bentuk aerodinamik yang mampu mengurangkan tahap penggunaan minyak sehingga 23 peratus. Pengurangan berat sehingga 100 kg itu membabitkan komponen enjin (40 kg), badan kenderaan (37 kg), kerangka (26 kg) dan sistem elektrik (enam kg). Teknologi terbaru yang dinamakan sebagai BlueMotion menjadi penanda aras jenama berkenaan apabila mencatatkan 3.2 liter bahan api bagi setiap 100 kilometer (km) selain pembebasan karbon dioksida sebanyak 85 gram/km. Ketua Rekaan Jurutera Visualnya, Arne Leetz berkata, keluasan kabin Volkswagen Golf Mk VII lebih luas berbanding model sebelumnya, sekali gus memberi kelegaan kepada penumpang hadapan dan belakang.
Menurutnya, kenderaan itu lebih panjang sehingga 56 milimeter (mm) dengan mencatatkan bentuk keseluruhan sehingga 4.255 meter (m). “Penambah baik pada model ini ternyata memberi kekuatan bagi kenderaan kompak ini untuk membezakannya dengan model terdahulu.“Malah, kerusi yang dicipta lebih canggih dan berkualiti dengan konsep kerusi ‘egroActive’ turut memenangi anugerah kempen Kesihatan Belakang,” katanya.
Leetz berkata, ruang botnya turut ditingkatkan apabila ia lebih rendah untuk memudahkan penggunanya memunggah barang, selain mampu diisi dengan beban sehingga 380 liter. Sementara itu, reka bentuk yang tidak ketinggalan zaman terhasil dengan gabungan dua model terdahulu iaitu Volkswagen Golf Mk II dan Mk IV yang menyerlah bagi kenderaan kompak. Walaupun jentera ini direka untuk pemanduan santai dan berbeza dengan spesifikasi GTI, ia masih lagi tampak gah dan sporty serta aerodinamik. Lampu hadapan sedikit tirus yang kelihatan bersambung dengan jeriji hadapan memberi dimensi baru bagi watak kenderaan generasi ketujuh itu. Garisan sisi antara hujung pintu hadapan hingga ke belakang membuatkan susuk badannya tampak kemas dan tegap.
Menjengah bahagian kabinnya, ia masih menerapkan material yang lembut untuk papan pemukanya, sekali gus tampak premium bagi kenderaan segmen A. Apa yang paling menarik apabila papan pemukanya dilengkapi skrin sesentuh yang cara penggunaannya seolah-olah seperti telefon pintar IPhone. Ini berikutan gambar atau imej peta menerusi sistem navigasinya boleh dibesarkan dengan menggunakan dua jari selain mesra pengguna. Sekiranya mahu memainkan cakera padat, penulis perlu membuka tempat penyimpan barang di bawah papan pemukanya.
Ketika memandu ujinya, pengendalian sangat menyeronokkan kerana ia memberi ketepatan memasuki laluan berselekoh dan berbukit. Kaki penulis seolah-olah teruja sebaik menekan pedal minyaknya kerana kuasa pecutan yang disalurkan sangat mantap dan mudah dikawal. Walaupun enjin 1.4 liter, kuasa tujahan dengan bantuan sistem turbo membuat badan penulis melekat pada kerusinya seolah-olah memandu kenderaan berprestasi tinggi.
Ketika memandu jentera ini secara santai, panel meternya memberi maklumat bahawa ia menggunakan dua silinder untuk menggerakkannya, sekali gus mengurangkan tahap penggunaan bahan api. Bagaimanapun, sekiranya menekan pedal minyak secara agresif, keempat-empat silinder akan berfungsi seperti biasa. Suasana yang nyaman dengan tumbuhan menghijau di sekitar Sardinia turut menyeronokkan sesi pandu uji yang disertai media dari beberapa negara termasuk Jepun dan Afrika Selatan.
Sajian laluan berselekoh dan berbukit dimanfaatkan sepenuhnya untuk menguji model berkenaan dan ternyata ia tidak sedikit pun menghampakan penulis. Setiap selekoh tajam ‘diratah’ dengan mudah kerana ia memberi kestabilan dan tidak membuang ketika kelajuan sedikit tinggi. Ternyata sistem suspensinya berfungsi dengan sempurna walaupun ia bukan kenderaan berprestasi tinggi atau kereta perlumbaan. Penulis juga berkesempatan memandu uji Volkswagen Golf Mk VII yang menggunakan enjin diesel. Bagaimanapun, difahamkan ia tidak akan dipasarkan di negara ini. Selain itu, semua varian Volkswagen Golf Mk VII dilengkapi tujuh beg udara, ESC, brek letak kereta elektronik dengan Pegang Auto, kunci perbezaan elektrik, lampu siang dan pemantauan tekanan tayar.
No comments:
Post a Comment